January 08, 2014

Dogeng Rakyat Moden: Gunung Emas Di Indahpura



Tersebutlah kisah pada zaman dahulu kala, di hutan belantara yang penuh dengan binatang buas, mawas besar dan mergastua yang garang. Kononya dalam hutan belantara tersebut terdapat sebuah gua yang menyimpan seribu mesteri alam. Pada gua tersebut, kononya terdapat longgokan emas yang banyak setinggi sebuah bukit kecil. Orang tua-tua berpesan kepada anak cucu mereka supaya menjauhkan diri mereka dari hutan belantara tersebut kerana khuatir dengan keselamatan mereka. Dijadikan cerita, tidak pernah ada orang yang pulang semula ke pekan atau desa setelah memasuki hutan belantara tersebut. Di tokok tambah pula dengan larangan orang-orang tua, maka tiada siapa yang berani memasuki  hutan tersebut seorang diri kecuali dengan berkumpulan atau ketika musim memburu rusa. Itu pun hanya pada waktu siang sahaja.

Suatu ketika, musim memburu rusa sudah bermula yang kebiasaanya tiba pada bulan Oktober hingga Disember. Maka terdapat sekumpulan penduduk desa yang terdiri dari tiga orang pemuda berpakat sesama mereka hendak memburu rusa. Mereka akan memulakan pemburuan mereka pada waktu pagi dan pulang semula ke desa sebelum lewat petang. Cukuplah bagi mereka membawa pulang seekor rusa atau paling menguntungkan, seekor rusa untuk seorang. Mereka bertolak pada awal pagi keesokan harinya bersama seekor anjing pemburu. Berjalanlah mereka semua memasuki hutan belantara yang terletak di Indahpura. Hutan belantara memang terkenal sebagai hutan dara dan dijadikan sebagai hutan simpan bagi kerjaan Indahpura. Di sana terdapat berbagai-bagai flora dan fauna yang pelbagai macam dan jenis. Ada yang baharu dan ada juga yang lama. Mungkin juga ada spesis yang belum pernah jumpa atau belum dikenalpasti. Binatang liar yang menjadi penghuni tetap hutan Indahpura ini seperti Gajah, Badak dan Pak Belang. Terdapat juga spesis mawas gunung yang berbulu hitam dan bertompok putih di matanya yang di panggil Ungka. Juga burung yang bermigrasi setiap tahun seperti burung layang-layang. Selain rusa, kehadiran lembu liar seperti seladang dan kambing gunung juga sesuai untuk dijadikan buruan tetapi perlu mendapatkan dahulu lesen memburu dari kerajaan Indahpura dan permit lesen memburu juga adalah terhad untuk setiap 25 orang untuk sekali musim memburu. Ia bagi memastikan ekosistem hutan belantara tersebut kekal dan tidak menganggu rantai makanan warga hutan tersebut. 

Tiga orang pemburu bersama anjing pemburu mula memasuki hutan belantara tersebut dengan lebih dalam. Sambil menyelam, minum air. Sebenarnya, niat sebenar mereka adalah untuk mencari emas seperti yang khabar angin yang mula tersebar di kalangan penduduk desa, pekan dan kota dalam kerajaan Indahpura bahawa kononya terdapat seorang pemuda yang membawa pulang emas dan menjadi kaya selepas terjumpa emas dalam sebuah gua di hutan belantara Indahpura. Jadi mereka bertiga ingin mencari kebenaranya dan ingin menjadi kaya apabila terjumpa emas nanti. Jadi alang-alang memburu rusa, kan untung jika terjumpa emas. Selang beberapa ketika di hutan, mereka mendapat seekor rusa jantan yang agak besar. kiranya, cukup untuk keuntugan mereka bertiga hari itu. Tetapi ketiga-tiga ingin meneroka lebih dalam lagi hutan belantara berkenaan. Cuaca tiba-tiba mula gelap menandakan hari akan hujan. Mereka segera mencari tempat berteduh dan kebetulan terdapat gua berhampiran sebuah kaki bukit. Mereka segera mencari tempat berteduh di dalam gua tersebut. Hujan turun selebat-lebatnya pada waktu itu. Dalam kesejukan, salah seorang dari mereka menghidupkan unggun api. Mereka mengambil kesempatan untuk menjamah bekalan dan berehat selepas penat memburu dan berjalan sambil bersembang dan bercerita mengenai cerita orang yang terjumpa emas di hutan tersebut. Hujan mula berhenti pada waktu zuhur beberapa jam kemudian. Mereka bertiga bersama anjing pemburu mencari anak sungai untuk membersihkan diri dan bersuci untuk menunaikan solat Zuhur. Seorang dari mereka melaungkan azan. Ketika hendak menundukan badan untuk mengambil wuduk di sungai tersebut seorang pemburu ternampak benda yang sungguh berkilat dari dasar anak sungai tersebut yang jernih. Apabila diselam dasar sungai berkenaan mengunakan kedua-dua tapak tangan dan mengangkatnya semula, ternyata benda yang berkilat itu adalah emas bercampur pasir. Dia segera menjerit memanggil kedua-dua sahabatnya yang lain. Mereka berkumpul dan sungguh teruja. salah seorang dari mereka sungguh gembira dan berkata mahu mengambil seberapa banyak emas yang mungkin untuk di bawa pulang ke desa. Berlainan pula yang seorang lagi yang menegah mereka dari berbuat demikian kerana teingat akan pesaanan orang-orang tua. Ketika sedang berbincang-bincang, orang yang pertama yang menjumpa emas tadi segeram memasukan pasir berserta emas ke dalam begnya tanpa menghiraukan kedua-dua rakanya yang sibuk dengan pendirian masing-masing. Mereka semua tergamam dan perbincangan kali ini menjadi semakin rancak. Sama ada mahu membawa pulang emas di dalam sungai itu ataupun tidak kerana larangan orang-orang tua di desa. Akhirnya kata putus dibuat bahawa setiap orang perlu membuat keputusan masing-masing selepas menunaikan solat Zuhur. Mereka mula solat secara berjemaah. Masing-masing memikirkan akan keputusan yang paling tepat dan menguntungkan.

Seperti yang dijanjikan, setiap orang akan mengeluarkan kata putus masing-masing. Pemburu pertama menjawab kita pulang sahaja kerana hari hampir lewat petang dan sudah mendapat hasil rusa buruan yang besar. Lagipun kita berada jauh di tengah hutan dan jika lambat keluar, maka terpaksa bermalam di situ. Pemburu kedua pula memberikan kata putus bahawa emas di dasar sungai perlu di ambil dan di bawa pulang kerana boleh menjadi senang dalam sekelip mata. Tetapi dengan apa emas tersebut mahu dilombong dan mahu di bawa pulang sedangkan peluang hanya sekali. Pemburu ketiga pula berpesan supaya ingat akan pesanan orang-orang tua bahawa hutan ini sememangnya keras dan terdapat binatang buas. Jika mahu dilombong juga emas tersebut, maka mereka semua terpaksa bermalam di situ dan peralatan juga tidak mencukupi untuk melombong emas tersebut. Setelah lam berbincang akhirnya mereka semua bersetuju untuk mengambil seorang secupak emas bercampur pasir dari dasar sungai tersebut dan pulang membawa buruan rusa mereka ke desa. Setelah menyelam seorang sekali, mereka semua bersiap-sedia untuk keluar dari hutan dan pulang dengan senyuman membawa hasil yang begitu menguntungkan setiap seorang bersama anjing pemburu. Sekali lagi misteri hutan belantara di Indahpura dapat di bongkor oleh tiga orang pemburu yang datangnya dari desa untuk memungut hasil hutan. Sememangnya, hutan belantara tersebut memang banyak menyimpan khazanah dan rahsianya yang tersendiri untuk setiap kehidupan yang tinggal atau yang singgah di situ... waallahua'lambisawak(hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui)

0 Cerita Utama:

Post a Comment